Thursday, 19 May 2016

Analisis Metafora dan Skema Imej dalam Novel Melayu - Semantik

1.0       Pendahuluan
Metafora mengikut semantik kognitif dilihat sebagi prinsip ontologi yangmelibatan kegiatan penggunaan bahasa setiap hari. Metafora kognitif memberikan keupayaan manusia semasa menggunakan bahasa khususnya dalam memberikan makna kepada bahasa. Terdapat tiga jenis metafora kognitif yang utama iaitu Metafora Orientasi, Metafora Ontologi dan Metafora Struktural.
            Dari perspektif semantik kognitif, pembentukan struktur konsepsi asas berdasarkan pengalaman manusia yang berlaku di dalam sistem kognisi manusia ini dikenali sebagai skema imej. Skema imej pula merujuk kepada struktur kognitif yang paling asas yang mendasari penggunaan metafora (Johnson, 1987).
            Johnson turut menyatakan bahawa pengalaman fizikal seperti pergerakan anggota badan, tanggapan manusia terhadap dunia, dan sebagainya akan membentuk struktur konsepsi asas yang akan digunakan oleh manusia untuk menyusun pemikiran dalam domain yang lebih abstrak. Terdapat pelbagai jenis skema imej, antaranya ialah skema imej tatatingkat, skema imej saiz, skema imej penghubung, skema imej hadapan-belakang, skema imej jarak, skema imej bahagian, skema imej bekas, skema imej kuasa dan skema imej laluan. Kajian ini akan menganalisis metafora dan skema imej secara ringkas yang terdapat di dalam novel Melayu. Novel yang dipilih ialah Rindu Awak 200% (2013) oleh Liyana Zahim. Sebanyak 10 sahaja data dari novel ini yang akan diambil dan dianalisis.

2.0       ANALISIS METAFORA DAN SKEMA IMEJ
Berikut merupakan 10 data yang diambil dari novel Rindu Awak 200% yang memperlihatkan penggunaan metafora dan skema imej.

2.1.1    Metafora Orientasi

Menurut Lakoff & Johnson (1980:14), metafora orientasi ialah peluasan makna atau konsep orientasi seperti DALAM-LUAR, ATAS- BAWAH, HADAPAN-BELAKANG dan PENUH-KURANG kepada domain bukan ruang. Metafora orientasi ini juga dikenali sebagai metafora ruang. Ruang orentasi ini timbul daripada persekitaran bahawa kita mempunyai pengetahuan asas tentang persekitaran fizikal.

DATA 1                                                                                                                                      
Armel memberanikan diri menatap wajah Faezrul. Walau dirasakan saat ini kekuatannya berada di paras paling bawah.
                                                                     (Rindu Awak 200%, 2013: 304)
 Berdasarkan Data 1, frasa kekuatannya berada di paras paling bawah dianggap sebagai metafora orientasi kerana menepati ciri metafora tersebut iaitu memberikan konsep ruang kepada domain bukan ruang. Kekuatan menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013:836) ialah tenaga atau daya. Oleh itu perkataan “kekuatan” ialah sesuatu yang abstrak dan tidak mempunyai ruang kerana  “kekuatan” hanya boleh digambarkan sahaja. Apabila perkataan kekuatan digunakan dengan frasa paras paling bawah menunjukkan bahawa kekuatan fizikal dan mental watak dalam novel ini iaitu Armel sangat rendah dan ini memberikan konsep ruang pada perkataan “kekuatan” sama ada konsep itu tinggi atau rendah
            Jika dilihat pada sudut skema imej pula, frasa tersebut tergolong dalam skema imej tatatingkat. Skema ini (Lakoff & Johnson, 1987:276)  didasari oleh metafora konsep di mana yang di atas ialah berkuasa dan di bawah itu kurang berkuasa. Apablia melihat frasa paras paling bawah, jelas menunjukkan bahawa watak tersebut mempunyai kuasa atau “kekuatan” yang kurang daripada orang lain.

DATA 2:
Faezrul menghadiahkan satu kucupan hangat di dahi Armel. Meredakan gelodak rasa yang merimba di hati Armel.                                                                                                                                                                               (Rindu Awak 200%, 2013:480)
Berdasarkan Data 1, frasa Meredakan gelodak rasa ialah metafora orientasi kerana menepati ciri metafora tersebut iaitu memberikan konsep orientasi kepada domain bukan ruang. Perkataan “meredakan” mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013:1301) bermaksud menjadikan atau menyebabkan reda, menenangkan, mengamankan atau mengurangkan. Maksud yang sesuai untuk dikonotasikan bagi perkataan “meredakan” dalam frasa tersebut ialah mengurangkan. “Rasa” dalam frasa tersebut bermaksud keadaan hati tentang sesuatu contohnya emosi (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2013:1290). Oleh itu perkataan emosi dianggap sebagai domain bukan ruang kerana “rasa” adalah sesuatu yang abstrak kepada amnusia dan tidak mempunyai ruang. Apabila perkataan meredakan digunakan menjadikan perkataan “rasa” itu seperti mempunyai ruang untuk berkurangan.
            Skema imej yang boleh diihat dalam frasa tersebut ialah skema imej saiz. Saiz pada zahirnya melambangkan kuasa. Saiz yang besar mempunyai kuasa yang tinggi dan sebaliknya. Jika dilihat perkataan “meredakan” yang sama maksud dengan mengurangkan dalam frasa yang ditebalkan, ini bermakna “rasa” itu dapat dikurangkan dari gelodak rasa yang besar kepada gelodak rasa yang sedikit atau kecil.

 2.1.2   Metafora Ontologi
Menurut Lakoff & Johnson (1980:25), metafora ontologi ialah pengkonseptualisasian benda yang abstrak sebagai contoh emosi, idea atau fenomena persekitaran dan menjadikannya seperti benda yang biasanya entiti, benda konkrit atau tempat. Pemetaan entiti abstrak epada entiti konkit ini menyebabkan satu pihak dikala oleh satu pihak yang lain. Pengalaman kita dengan entiti konkrit, memberikan suatu input bagi metafora ini. Ia meliputi cara untuk memerhatikan sesuatu aspek atau perkara, aktiviti, emosi dan ideayang berkaitan dengan entiti dan bahan-bahan (Asas Linguistik, 2014: 116).

DATA 3:
Satu keluhan tergelincir keluar dari mulut.                                                                                                                                           (Rindu Awak 200%, 2013:265)
Ayat Satu keluhan tergelincir keluar dari mulut dalam Data 3 menunjukkan penggunaan metafora  ontologi. Metafora ontologi berfungsi apabila sesuatu entiti yang abstrak dijadikan seperti benda yang konkrit. Entiti yang abstrak dalam ayat tersebut ialah keluhan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013: 726) keluhan ialah kata-kata keluhan, keluh kesah atau rintihan. Keluhan ini juga boleh dikatakan sebagai suatu perasaan dalam diri manusia. Keluhan ini hanya boleh dirasai di dalam diri dan ini menyebabkan keluhan dianggap sebagai entiti yang abstrak. Frasa keluhan tergelincir keluar dari mulut dianggap metafora ontologi keranakeluhan” yang dianggap entiti abstrak itu dijadikan seperti entiti konkrit dengan menggunakan frasa tergelincir keluar. Tergelincir mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013:449) ialah tergeluncur, tergeser kerana licin atau terlepas dari landasan. Umumnya perkataan tergelincir disinonimkan dengan entiti yang konkrit seperti dalam ayat kereta api yang tergelincir dari landasannya (Menjamin Khidmat Kereta Api Selesa, 2003) di mana kereta api yang merupakan entiti konkrit digunakan dengan perkataan tergelincir yang menunjukkan kereta api itu terkeluar dari landasan.  Jadi frasa keluahan tergelincir keluar dari mulut ialah metafora ontologi kerana keluhan iaitu entiti abstrak dijadikan seperti entiti konkrit dengan menggunakan frasa tergelincir keluar dari mulut.
            Skema imej yang dapat dianalisis berdasarkan ayat tersebut ialah skema imej bekas. Menurut Johnson (1987:21) , skema imej bekas terbentuk daripada pengalaman manusia terhadap badan manusia itu sendiri sebagai bekas, pengalaman manusia berada di dalam lokasi tertutup seperti bilik dan sebagainya, dan meletakkan objek-objek itu di dalam bekas. Jika dianalisis frasa keluhan tergelincir keluar dari mulut, “mulut” dianggap sebagai bekas dan “keluhan” dianggap sebagai suatu entiti yang boleh dikeluarkan atau dimasukkan ke dalam bekas (mulut).

DATA 4:
Suhu sejuk menggigit-gigit kulitnya.                                                                                                                                                    (Rindu Awak 200%, 2013:269)
Ayat Suhu sejuk menggigit-gigit kulitnya dalam Data 4 menunjukkan penggunaan metafora  ontologi. Metafora ontologi berfungsi apabila sesuatu entiti yang abstrak dijadikan seperti benda yang konkrit. Entiti yang abstrak dalam ayat tersebut ialah suhu sejuk. Sejuk (Kamus Dewan Edisi Keempat, 20013: 1412) bermaksud tidak panas atau hangat, rendah suhunya atau dingin. Frasa suhu sejuk bermaksud satu keadaan atau sifat di mana suhu yang rendah dan tidak panas. Suhu sejuk dianggap entiti abstrak kerana sifat ini adalah salah satu contoh fenomena persekitaran yang tidak bersifat konkrit. Apabila penulis menggunakan frasa Suhu sejuk menggigit-gigit, entiti abstrak suhu sejuk telah menjadi entiti konkrit kerana perbuatan menggigit-gigit yang bermaksud mengapit dengan gigi atau menimbulkan rasa seakan-akan dicengkam-cengkam atau dicucuk-cucuk (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2013: 473) hanya boleh dilakukan oleh manusia atau haiwan yang merupakan entiti konkrit. Oleh itu ayat Suhu sejuk menggigit-gigit kulitnya dianggap metafora ontologi kerana entiti abstrak (suhu sejuk) dijadikan seperti benda iaitu melakukan perbuatan menggigit-gigit kulitnya.
            Skema Imej yang dapat dilihat ialah skema imej kuasa. Skema imej kuasa dapat dibahagikan kepada 3 jenis iaitu skema imej kuasa paksaan, skema imej kuasa halangan dan skema imej kuasa penyingkiran halangan. Skema imej yang sesuai untuk ayat tersebut ialah skema imej kuasa paksaan. Skema imej ini menerangkan mengenai vektor kuasa yang boleh bertindak ke ayat sesuatu entiti. (Johnson, 1987:45).  Jika dilihat dalam ayat Suhu sejuk menggigit-gigit kulitnya, suhu sejuk menjadi satu vektor kuasa yang boleh bertindak kepada susuatu entiti iaitu kulit dengan cara mengigit-gigit. Suhu sejuk merupakan suatu fenomena sains yang boleh memberi kesan kepada kehidupan. Oleh itu apabila suhu sejuk menggigit kulit, ini memberitahu bahawa suhu sejuk ini berkuasa untuk melakukan sesuatu perbuatan (menggigit) secara paksaan kepada kulit manusia tanpa sebarang halangan.

DATA 5:
Serentak Armel berpaling. Habis berkecai segala lamunannya. Figura Raizil betul-betul sudah berada di depan matanya. 
                                                                    (Rindu Awak 200%, 2013: 251)
Ayat Habis berkecai segala lamunannya dalam Data 5 menunjukkan penggunaan metafora  ontologi. Metafora ontologi berfungsi apabila sesuatu entiti yang abstrak dijadikan seperti benda yang konkrit. Entiti yang abstrak dalam ayat tersebut ialah lamunan. Lamunan mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013:880) bermaksud fikiran yang bukan-bukan atau angan-angan. Lamunan dianggap entiti abstrak kerana lamunan ini hanya terjadi dalam fikiran manusia sahaja. Apabila diberikan konsep berkecai pada lamunan, ini menjadikan ayat tersebut metafora ontologi. Berkecai bermaksud pecah kecil-kecil, hancur, bersepai atau remuk (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2013:697) dan perkataan berkecai ini selalu disinonimkan dengan entiti konkrit iaitu kaca.  Oleh itu, ayat Habis berkecai segala lamunannya ialah metafora ontologi kerana entiti abstrak (lamunan) dijadikan seperti benda atau entiti konkrit kerana boleh berkecai.
            Skema imej yang sesuai untuk Data 5 ini ialah skema imej kuasa halangan. Skema imej ini melibatkan kuasa bertemu dengan halangan. Keadaan ini lazimnya dihadapi manusia dalam interaksi dengan objek dan hidupan lain dalam persekitanan seharian. Kuasa tersebut boleh bertindak dengan pelbagai cara seperti mengubah arah atau laluan, meneruskan perjalanan dengan mengeluarkan halangan itu atau melalui halangan tersebut (Johnson, 1987:45).  Berdasarkan Data 5, halangan tersebut ialah Figura Raizil yang telah menghalang kuasa lamuanan sehingga menyebabkan lamunan tersebut berkecai.

DATA 6:
Ada seribu satu rasa yang bergumpal di dalam hatinya saat itu.                                                                                                    (Rindu Awak 200%, 2013:271)
Frasa seribu satu rasa yang bergumpal di dalam hatinya dalam Data 6 menunjukkan penggunaan metafora  ontologi. Metafora ontologi berfungsi apabila sesuatu entiti yang abstrak dijadikan seperti benda yang konkrit. Entiti yang abstrak dalam ayat tersebut ialah rasa. Kamus Dewan Edisi Keempat (2013: 1290) menyatakan rasa ialah perihal sesuatu yang dikecapi oleh lidah, keadaan yang dialami oleh bahagian tubuh dan keadaan hati terhadap sesuatu. Maksud rasa dalam frasa tersebut ialah suatu perasaan. Rasa dikatakan sebagai entiti abstrak kerana rasa tidak boleh dipegang dan hanya berlaku dalam diri manusia. Perbuatan bergumpal yang selalu dilakukan kepada dengan entiti konkrit seperti tanah atau darah bermaksud berkepal, berketul atau berkepul (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2013: 488). Oleh itu apabila konsep bergumpal yang sinonim dengan entiti konkrit diberikan kepada entiti abstrak rasa, maka frasa tersebut menepati ciri metafora ontologi.  
            Skema imej dalam frasa seribu satu rasa yang bergumpal di dalam hatinya ialah skema imej bekas. Menurut Johnson (1987:21), skema imej bekas terbentuk daripada pengalaman manusia terhadap badan manusia itu sendiri sebagai bekas, pengalaman manusia berada di dalam lokasi tertutup seperti bilik dan sebagainya, dan meletakkan objek-objek itu di dalam bekas. Jika dianalisis frasa seribu satu rasa yang bergumpal di dalam hatinya, “hati” dianggap sebagai bekas dan “rasa” dianggap sebagai suatu entiti yang terkumpul (bergumpal) dengan banyak (seribu satu) ke dalam bekas (hati). Penerangan ini menepati ciri skema imej bekas.

DATA 7:
Sebahagian hatinya tergores jua walau dia cuba untuk menelan segala kata-kata kesat Armel.                                                                                                                      
                                                                  (Rindu Awak 200%, 2013:283)
Frasa dia cuba untuk menelan segala kata-kata kesat Armel dalam Data 7 menunjukkan penggunaan metafora ontologi. Metafora ontologi berfungsi apabila sesuatu entiti yang abstrak dijadikan seperti benda yang konkrit. Entiti yang abstrak dalam ayat tersebut ialah kata-kata kesat. Kamus Dewan Edisi Keempat (2013: 684) menyatakan bahawa kata ialah sesuatu yang diujaran atau dituturkan. Kata dilihat sebagai suatu entiti abstrak kerana kata tidak boleh dilihat atau dipegang dan hanya mengeluarkan bunyi-bunyi yang menjadikan perkataan. Perbuatan menelan yang bermaksud memasukkan sesuatu ke dalam mulut melalui kerongkong (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2013: 1632). Oleh itu apabila konsep menelan yang sinonim dengan entiti konkrit seperti makanan diberikan kepada entiti abstrak kata, maka frasa tersebut menepati ciri metafora ontologi.
            Skema imej yang dapat dianalisis dalam frasa tersebut ialah skema imej bekas. Menurut Johnson (1987:21), skema imej bekas terbentuk daripada pengalaman manusia terhadap badan manusia itu sendiri sebagai bekas, pengalaman manusia berada di dalam lokasi tertutup seperti bilik dan sebagainya, dan meletakkan objek-objek itu di dalam bekas. Konsep bekas dalam frasa tersebut tidak dizahirkan tetapi disebabkan penggunaaan perkataan menelan, skema imej bekas boleh digunakan kerana perbuatan menelan ialah memasukkan sesuatu. Oleh itu, apabila menelan kata-kata kesat itu bermaksud memasukkan kata-kata kesat itu ke dalam bekas.    

DATA 8:
Ketenangan Faezrul menjentik emosinya.                                                                                                                                           (Rindu Awak 200%, 2013:87)
Ayat Ketenangan Faezrul menjentik emosinya dalam Data 8 menunjukkan penggunaan metafora ontologi. Metafora ontologi berfungsi apabila sesuatu entiti yang abstrak dijadikan seperti benda yang konkrit. Entiti yang abstrak dalam ayat tersebut ialah emosi. Emosi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013: 388) ialah perasaan jiwa yang kuat seperti sedih, gembira takut dan lain-lain. Emosi dianggap entiti abstrak kerana emosi merupakan satu perasaan yang dialami manusia dan tidak bersifat konkrit. Apabila perbuatan menjentik diberikan kepada emosi, maka ini menepati ciri metafora ontologi kerana menjadikan entiti abstrak (emosi) sebagai benda dengan cara menjentik Menjentik mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013:626) ialah memukul atau menguis sesuatu dengan belakang hujung jari yang dibidaskan dengan ibu jari. Oleh itu, menjentik selalu disinonimkan dengan objek konkrit seperti menjentik batu atau menjentik penutup botol. 
            Skema imej yang dapat dianalisis dalam Data 8 ialah skema imej laluan. Skema imej ini melambangkan pengalaman seharian manusia di dunia dan pergerakkan oleh entiti-entiti lain.  Skema imej ini memperlihatkan pergerakan dari satu titik ke titik lain. Data 8 ini menampakkan pergerakkan kerana perbuatan menjentik akan menggerakkan sesuatu entiti dari titik mula ke titi akhir. Apabila perbuatan menjentik emosi dilakukan, emosi akan berubah dari negatif kepada positif atau sebaliknya. Ini menunjukkan perubahan sebelum dan selepas. Oleh itu frasa menjentik emosi boleh dianggap sebagai mematuhi ciri skema imej laluan.

2.1.3    Metafora Struktural

Metafora struktural menurut Lakoff & Johnson (1980:14) ialah mengambil item-item yang banyak berstruktur dalam pengalaman hidup sebagai sumber domain untuk memahami sesuatu konsep yang lain. Metafora struktural merupakan satu konsep yang kompleks berbanding metafora yang lain. Ini kerana metafora struktural ini memerlukan pemabaca atau pendengar menukarkan satu domain asas kepada domain sasaran. Metafora ini juga membantu pembaca atau pendengar mengkonsepsikan sesuatu perkara kepada suatu bentuk yang lebih mudah untuk difahami. 

DATA 9:
Of course. I dah tak tahan dah duduk terperap dalam rumah ni, dah macam jeruk.                                                                        (Rindu Awak 200%, 2013:233)
Ayat I dah tak tahan dah duduk terperap dalam rumah ni, dah macam jeruk  menunjukkan penggunaan metafora struktural. Ini kerana penulis cuba mengaitkan watak tersebut yang duduk terperap di dalam rumah seperti jeruk. Terperap menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013:1189) bermaksud tertahan, tidak terurus, terkurung atau terpendam manakala jeruk pula bermaksud buah-buahan, sayur, telur dan lain-lain yang disamkan tau diasinkan (Kamus Dewan Edisi Keempat 2013:630). Perbuatan terperap di dalam rumah disinonimkan dengan jeruk kerana proses membuat jeruk memerlukan bahan-bahan yang ingin dijerukkan itu disimpan lama di dalam bekas sehingga menjadi masam atau masin sama seperti terperap di dalam rumah sehingga tidak melakukan apa-apa perkara yang berfaedah. Oleh itu mensinonimkan perbuatan terperap di dalam rumah dengan jeruk sangat sesuai dan menepati ciri metafora struktural.
            Skema imej yang dapat dianalisis dalam ayat tersebut ialah skema imej bekas. Menurut Johnson (1987:21), skema imej bekas terbentuk daripada pengalaman manusia terhadap badan manusia itu sendiri sebagai bekas, pengalaman manusia berada di dalam lokasi tertutup seperti bilik dan sebagainya, dan meletakkan objek-objek itu di dalam bekas. Konsep bekas dalam ayat tersebut diberikan kepada rumah di mana perbuatan duduk terperap bermaksud perbuatan itu dilakukan di dalam bekas (rumah) dan tidak dikeluarkan dari bekas tersebut. Ini menepati ciri skema imej bekas.

DATA 10:
Betapa mulianya wanita yang bernama Esyana itu. Barangkali jika dibandingkan dengan dirinya yang dahulu, seperti jarak langit dan bumi.                                                                                                              (Rindu Awak 200%, 2013:484)
Data 10 menunjukkan penggunaan metafora struktural. Data ini menunjukkan perbandingan sifat mulia antara watak Esyana dan Armel dan disinonimkan dengan jarak langit dan bumi yang sangat jauh. Mulia menurut KamusDewan Edisi Keempat (2013:1052) bermaksud tinggi (kedudukan, pangkat, martabat dan lain-lain), luhur, terhormat atau tertinggi. Maksud perkataan mulia dalam ayat tersebut ialah sifat Esyana yang baik dan hebat dari segi fizikal dan mental. Armel merasakan dirinya tidaklah semulia atau sebaik Esyana, jadi Armel membandingkan dirinya dengan Esyana seperti langit dan bumi. Ini kerana jaraknya terlalu jauh hanya tuhan sahaja yang mengetahuinya. Oleh itu penggunaan perbandingan ini menunjukkan perbezaan sifat yang sangat ketara antara Armel dan Ezyana.
            Skema imej yang dapat dianalisis  dalam Data 10 ini ialah skema imej tatatingkat. Skema ini (Lakoff & Johnson, 1987:276)  didasari oleh metafora konsep di mana yang di atas ialah berkuasa dan di bawah itu kurang berkuasa. Penggunaan frasa seperti jarak langit dan bumi dan perbandingannya dengan sifat kedua watak tersebut menunjukkan penggunaan skema imej tatatingkat kerana apabila berbicara mengenai sifat mulia, masyarakat meletakkan orang yang memiliki sifat ini di tahap yang paling tinggi dan dipandang mulia dan orang yang tidak mempunyai sifat mulia dipandang rendah tahapnya dan kemuliaan seseorang itu disinonimkan dengan membandingkan jarak jauhnya langit dan bumi ini.

3.0       KESIMPULAN
Berdasarkan analisis 10 data yang diambil dari novel Rindu Awak 200% ini, didapati metafora ontologi dan skema imej bekas mudah dijumpai berbanding metafora dan skema imej yang lain. Penggunaan metafora ontologi ini selalu digunakan kerana metafora ini mudah dan menjadikan ayat tersebut sedap didengar dan pembaca dapat memahami sesuatu perkara. Skema imej bekas pula banyak dilihat kerana terdapatnya perbuatan memasukkan atau mengeluarkan sesuatu dari “bekas” sebagai contoh menelan kata-kata dan tergelincir keluar dari mulut.Walaupun terdapat pelbagai jenis metafora dan skema imej di dalam novel ini, namun fungsi utamannya ialah memudahkan pembaca memehami sesuatu perkara itu berdasarkan pengalaman dan menyedapkan ayat atau menarik minat pembaca terutamanya remaja dan orang dewasa untuk membaca novel-novel bergenre seperti ini.


Rujukan:
Asmah Haji Omar. 1996. Metaphors of Anatomy as A Reflection of Malay Cultural Belief.          Kuala Lumpur: Persatuan Bahasa Moden Malaysia
Johnson, M. 1987. The Body in the Mind: The Bodily Basis of Meaning, Imagination and            Reason. Chicago: University of Chicago Press.
Kamus Dewan Edisi Keempat. 2013. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lakoff, G & Johnson, M.  1980. Metaphor We Live by. London: Oxford Unversity Press
Liyana Zahim. 2013. Rindu Awak 200%. Shah Alam: Grup Buku Karangkraf Sdn.Bhd.
Nik Safiah Karim et. al. 2011. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rahman Shaari. 1987. Persediaan Menulis Sajak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan   Pustaka.
Suraiya Chapakiya. 2014. Asas Linguistik. Selangor: PTS Akademia

Laman Sesawang
Abu Yazid Abidin. 1977. Mata di Jendela. Dipetik dari laman sesawang                 http://sbmb.dbp.gov.my/korpusdbp/Search2.aspx# pada 28 Mei 2015.

Hasmah Hassan. 2012. Metafora. Dipetik dari laman sesawang             http://hasmah042790.blogspot.com/2012/10/metafora.html pada 28 Mei 2015.

https://prpm.dbp.gov.my

Kaedah Penilaian Linguistik Klinikal: Malaysian Developmental Language Assessment Kit (MDLAK) - Psikolinguistik

Terdapat pelbagai ujian yang boleh dilakukan ahli terapi bahasa dalam menjalankan Kaedah Penilaian Linguistik Klinikal. Salah satunya ialah MDLAK. Kit Perkembangan Bahasa Penilaian untuk Malaysia (Malaysian Developmental Language Assessment Kit) (MDLAK) direka oleh Faust, Mullis dan Solomon digunakan sejak 1992 lagi. Ujian ini digunakan ahli terapi bahasa bagi menilai pre verbal (PVA), reseptif (RLA) dan ekspresif (ELA) kanak-kanak. Setelah diuji, kanak-kanak tersebut akan ditandai dengan L untuk Lulus, B untuk Dengan Bantuan atau M untuk Masih Belum (P – Pass, E - Emerging or N – Not Yet). Jika kanak-kanak itu tidak diuji dengan kemahiran tertentu, kanak-kank itu akan diberikan markah (--).Item-item yang terlibat dalam ujian MDLAK ini akan dilakukan pada awal dan akhir ujian untuk mendapatkan perbandingan keputusan. 

Terdapat 6 jenis ujian yang dilakukan dalam MDLAK ini contohnya:

Kategori
Bahan
Jenis Ujian
(Ujian Preverbal) Melihat Bersama
Bola dengan loceng, Beg
Sembunyikan permainan kecil di dalam beg. Tarik perhatian kanak-kanak dengan memberitahu ada sesuatu di dalam beg tersebut. Buka perlahan-lahan. Adakah kanak-kanak itu melihat beg itu sekurang-kurangnya 5 saat semasa anada membuka beg itu?
(Ujian Preverbal) Mendengar bersama
Loceng
Alih perhatian kanak-kanak supaya melihat ke hadapan. bunyikan loceng di sebelah kiri kanak-kanak itu kemudian bunyikan pula di sebelah kanan. Adakah kanak-kanak itu dapat mengenalpasti di mana bunyi tersebut?
(Ujian Preverbal) Mendengar bersama

Panggil nama kanak-kanak tersebut. Adalah dia memberi respon?
(Ujian Preverbal) Meniru
Kain dan Permainan
Sembunyikan permainan di bawah kain dan tarik kain itu perlahan-lahan supaya nampak permainan itu. Selepas itu ulangi perbuatan itu untuk melihat sama ada kanak-kanak tu meniru perbuatan anda.
(Ujian Reseptif Bahasa) Mengenalpasti  orang atau benda
Orang yag dikenali kanak-kanak
Tanya “Di mana_____ (Ibu/Ayah)”
Ujian ekspresif bahasa) Mengajuk bunyi yang bermakna
Permainan
Ambil apa-apa permainan seperti kereta atau patung haiwan dan buat bunyi berdasarkan permainan tersebut. Adakah mereka mengajuk.

Ujian ini dibuat kerana di malaysia tiada lagi ujian yang merangkumi preverbal, reseptif dan ekspresif bahasa untuk kanak-kanak dari lahir hingga umur 6 tahun.  Semua ujian ini boleh digunakan untuk bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Fungsi ujian-ujian ini adlah untuk tidak menjadi formal, senag untuk dinilai dan memberi kefahaman kepada ibu bapa dan guru tentan tahap bahasa kanak-kanak yang bertujuan untuk   mengenalpasti bila untuk campur tangan jika kanak-kanak tersebut mengalami kecelaruan bahasa. Oleh itu berdasarkan ujian MDLAK ini, guru dan ibu bapa dapat memilih matlamat mengajar yang sesuai untuk kanak-kanak tersebut berdasarkan pencapaian ujian MDLAK itu.

Jika boleh, pastikan ujian ini dijalankan dengan kehadiran ibubapa supaya kanak-kanak itu tidak takut atau gementar dan menyebabkan ujian menjadi tidak sah. Ini juga membantu jika pencapaian kanak-kanak itu tidak sama dengan perkara yang diketahui oleh ibu bapa tentang kemampuan kanak-kanak itu.

Ujian preverbal menguji kanak-kanak mengenai melihat dan mendengar, mengambil giliran, kemahiran meniru dan pemahaman tentang perkara yang simbolik serta kemahiran memadankan sesuatu.

Ujian reseptif pula menguji kanak-kanak tentang kefahaman tentang sekeliling, mengenalpasti objek atau tubuh badan, arahan mudah dan kompleks, konsep, memahami tentang kedudukan, dan kemahiran fungsi dan penaakulan.


Ujian ekspresif  menguji bunyi-bunyi yang bermakna, menamakan objek menggunakan kata kerja dan kata sifat kerta kata sendi nama, menggunakan 2 dan tiga patah perkataan dan kemahiran tahap tinggi yang lain.

Contoh Jadual Permarkahan MDLAK

Terdapat kebaikan menggunakan kaedah ini. Antaranya ialah ujian MDLAK memberi ruang kepada ahli terapi bahasa untuk menguji kemahiran praverbal,  kemahiran melihat, kemahiran mendengar dan kemahiran meniru, dalam kalangan kanak-kanak yang terlibat. Berdasarkan ujian MDLAK ini, ahli terapi bahasa boleh mengetahui sama ada kanak-kanak ini mempunyai masalah pada bahagian-bahagian tertentu melalui tahap pencapaian yang diperoleh oleh kanak-kanak selepas ujian dijalankan.  Sebagai contoh sekiranya markah pencapaian kanak-kanak yang diuji adalah rendah pada bahagian pendengaran, maka ahli terapi bahasa boleh memberi keutamaan kepada sistem auditori atau pendengaran kanak-kanak tersebut untuk rawatan selanjutnya. 

Kekuatan kedua pada ujian MDLAK ini adalah kerana ujian ini dijalankan secara perseorangan iaitu kanak-kanak akan diteliti secara individu. Hal ini kerana setiap kanak-kanak tidak sama sama dari segi daya dan kemahiran mereka. Sekiranya ujian ini dijalankan dalam kelompok yang besar, maka hasil yang diperolehi mungkin tidak tepat dengan kemampuan sebenar seseorang kanak-kanak itu. Mungkin berlaku masalah terlepas pandang atau masalah membuat penilaian yang tepat. 

Ujian MDLAK ini juga memberi ruang kepada ibu-bapa untuk mengetahui kemampuan atau masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka sejak usia awal lagi. Ibu bapa tidak perlu menunggu kanak-kanak sehingga usia yang lanjut untuk mengetahui bahawa anak-anak mereka mengalami kecelaruan bahasa atau tidak.

Kelemahan yang dapat dilihat dengan menggunakan kaedah ini adalah Ujian MDLAK ini hanya sesuai untuk kanak-kanak yang berumur 6 tahun ke bawah sahaja. Oleh itu, kanak-kanak yang berumur 6 tahun ke atas tidak dapat menggunakan kaedah ini untuk menguji tahap kecelaruan bahasa mereka. Hal ini kerana ujian ini lebih terarah kepada tahap pengahasilan bahasa pada peringkat awal atau peringkat asas oleh kanak-kanak.

Selain itu, Ujian MDLAK ini juga kurang standard terutama pada ujian mengajuk bunyi bahasa. Hal ini kerana kefahaman dan pengalaman kanak-kanak adalah tidak sama antara satu sama lain. Sebagai contoh kanak-kanak luar bandar akan lebih arif dengan bunyi haiwan berdasarkan pengalaman mereka berbanding kanak-kanak bandar yang mungkin kurang ada pengalaman dengan bunyi-bunyi haiwan sekiranya permainan haiwan digunakan sebagai alat dalam ujian ini. Mungkin mereka tidak dapat mengajuk bunyi haiwan yang dikehendaki bukan atas dasar mengalami kecelaruan bahasa tetapi disebabkan kurang pengalaman.



Rujukan:

Faust, T. 2002. Early Detection Of Language: Difficulties In Young Malay Children: Implication for School Preparation. Pulau Pinang. USM 

Sunday, 12 April 2015

Dari atau Daripada?

Khabaran semua…

Dari atau daripada? Persoalan yang kadang kala bermain di fikiran penutur bahasa Melayu yang peka. Ada juga sesetengah pihak tidak ambil peduli perkara ini. Mereka inilah yang boleh menyebabkan Bahasa Melayu kita rosak.
                Sebelum kita pergi lebih lanjut mengenai dari dan daripada, eloklah kita memahami mengenai kata sendi nama atau preposisi ini. Kata sendi nama dari menurut Tatabahsa Dewan Edisi Keempat (2013, 268) digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan arah, tempat dan masa. Berdasarkan Nahu Melayu Mutakhir pula (2009, 209) preposisi  atau kata depan permulaan arah dari ialah kata yang menandakan titik permulaan sesuatu pergerakkan. Oleh itu secara mudahnya kata sendi nama dari digunakan untuk menyatakan arah, tempat dan masa (A.T.M).
                Kata sendi nama daripada berdasarkan Tatabahasa Dewan (2013, 269) digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, unsur mujarad (konkrit), sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan perbezaan atau perbandingan.  Berdasarkan penerangan mengenai kata sendi nama dari dan daripada ini, mari kita llihat contoh penggunaan yang salah dan betul.

Salah
Betul
Alasan
Lori itu mebelok daripada kiri ke kanan.

Lori itu mebelok dari kiri ke kanan
menyatakan arah
Kelas itu  akan diasakan daripada pukul 3 petang sehingga 10 malam.

Kelas itu  akan diasakan dari pukul 3 petang sehingga 10 malam.
menyatakan masa
Pasu itu diperbuat dari tanah liat.

Pasu itu diperbuat daripada tanah liat.
menyatakan sumber atau asal kejadian
Kami tiba lebih awal dari mereka.
Kami tiba lebih awal daripada mereka.
menunjukkan perbezaan dan perbandingan


Kesalahan penggunaan kata sendi nama ini merupakan salah satu kesalahan yang sering dilakukan oleh pengguna bahasa Melayu. Oleh itu diharapkan pengguna bahasa melayu lebih peka sewaktu menggunakan kata sendi nama/preposisi dari atau daripada berdasarkan penerangan ringkas yang diberikan. Jumpa lagi untuk entri yang seterusnya dan saya tinggalkan satu ayat untuk anda semua fikir sama ada betul atau salah. Sekian….

Kami semua dari Malaysia

 Kami semua daripada Malaysia

Rujukan

Asmah Hj. Omar. 2009. Nahu Melayu Mutakhir Edisi Kelima. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Latifah Labatan, 2012. Perbezaan Kata Sendi Nama ‘Dari’ dan ‘Daripada’. Dicapai pada 12 April 2015 daripada laman sesawang http://latifahlabatan.blogspot.com/2012/11/perbezaan-kata-sendi-nama-dari-dan.html.

Mohd Saad. 2010. Penggunaan Kata Sendi Nama Dari dan Daripada. Dicapai pada 12 April 2015 daripada laman sesawang http://hjmsaad.blogspot.com/2010/03/penggunaan-kata-sendi-nama-dari-dan.html

Nik Safiah Karim et. al. 2013. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



Saturday, 11 April 2015

Kekeliruan Penggunaan Kata Pemeri

Assalamualaikum. Damai pada dunia...

Kita mulakan entri yang pertama dengan tajuk Kekeliruan dalam Penggunaan Kata Pemeri. Kata pemeri menurut Tatabahasa Dewan Edisi Keempat (2013, 263) ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Terdapat 2 bentuk kata pemeri iaitu ialah dan adalah.

            Nik Safiah Karim dalam buku Nahu Melayu Mutakhir Edisi Kelima (2009, 237) menyatakan ialah dan adalah tergolong dalam partikel pemerian yang berfungsi untuk memerikan subjek ayat.

            Kata pemeri ialah merupakan kata anafora atau rujukan yang dibentuk daripada gabungan ia dan lah dan digunakan di hadapan frasa nama. Ialah digunakan bagi membuat rujukan ke belakang atau dalam erti kata lain menerangkan subjek yang berada di hadapan.

            Kata pemeri adalah pula merupakan kata yang baru wujud yang diambil dari bahasa Indonesia dan digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Walaupun adalah berasal daripada morfem ada iaitu kata kerja dan lah iaitu parktikel penegas, kata pemeri atau partikel penegas adalah ini dalam ayat tidak berfungsi sebagai kata kerja kerana tidak mempunyai fungsi sebagai kata sempurna, tidak boleh didahului oleh kata kerja bantu atau kata nafi dan tidak boleh diikuti dengan adverba.

            Walaupun kata pemeri ini dilihat sebagai mudah, namun ada sesetengah pihak masih tidak peka dan keliru sama ada mahu menggunakan ialah atau adalah. Terdapat juga pihak yang hentam keromo dalam penggunaan kata pemeri ini. Oleh itu, kita akan melihat beberapa contoh ayat yang menggunakan kata pemeri yang salah dan cara penggunaan yang betul. 

Salah
Betul
Hepatitis B adalah infeksi hati yang disebabkan oleh virus Hepatitis B.

Hepatitis B ialah infeksi hati yang disebabkan oleh virus Hepatitis B.
Tujuan derma itu dikutip ialah untuk membantu Ali melanjutkan pelajaran.

Tujuan derma itu dikutip adalah untuk membantu Ali melanjutkan pelajaran.
Makanan seimbang ialah baik untuk kesihatan
Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan


Sampai di sini sahaja penerangan secara ringkas megenai kata pemeri. Untuk penerangan yang lebih lanjut mengenai kata pemeri ini bolehlah merujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, Nahu Melayu Mutakhir dan buku-buku rujukan bahasa Melayu yang lain. Jika ada masalah untuk mencari buku-buku tersebut bolehlah merujuk laman sesawang terutamanya laman sesawang http://prpm.dbp.gov.my/ untuk memudahkan pencarian mengenai kata pemeri. Oleh itu saya akhiri entri saya yang pertama ini dengan satu ayat dan saya minta anda fikir sejenak sama ada betul atau salah.

 "Adalah dimaklumkan bahawa tarikh untuk melihat anak bulan Syawal jatuh pada 13 Julai 2015."



Rujukan

Alice. 2013. Perbezaan Kata Pemeri Ialah dan Adalah. Dicapai pada 9 April 2015 daripada laman sesawang http://aliceanakmengga.blogspot.com/2013/04/perbezaan-kata-pemeri-ialah-dan-adalah.html.

Asmah Hj. Omar. 2009. Nahu Melayu Mutakhir Edisi Kelima. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Iena. 2012. Kopula. Dicapai pada 10 April 2015 daripada laman sesawang http://shafa-cha.blogspot.com/2012/01/kopula.html.

Nik Safiah Karim et. al. 2013. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Norazizah Mazri. 2009. Kata Pemeri dan Kata Nafi. Dicapai pada 10 April 2015 daripada laman sesawang http://norazizahmazri.blogspot.com/p/kata-pemeri-dan-kata-nafi.html.

Friday, 10 April 2015

Aku Tanya Apa Khabar


sumber: Google Image

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca sekalian. : )

Blog ini dihasilkan bagi membincangkan mengenai perkara-perkara yang berkaitan bahasa Melayu seperti fonetik fonologi, semantik pragmatik, wacana, psikolinguistik BM, dan lain-lain lagi.

Sampai di sini sahaja pengenalan untuk blog ini. Diharapkan pembaca dapat memberi komen-komen yang membina untuk menjadikan blog ini lebih menarik dan berilmiah. Sebarang pertanyaan boleh terus emel kepada saya, RedWW_6891@yahoo.com

Sekian, terima kasih.

Let's Showtime...