Assalamualaikum. Damai pada dunia...
Kita
mulakan entri yang pertama dengan tajuk Kekeliruan dalam Penggunaan Kata
Pemeri. Kata pemeri menurut Tatabahasa Dewan Edisi Keempat (2013, 263) ialah
unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa
utama dalam predikat. Terdapat 2 bentuk kata pemeri iaitu ialah dan adalah.
Nik Safiah Karim dalam buku Nahu Melayu
Mutakhir Edisi Kelima (2009, 237) menyatakan ialah dan adalah
tergolong dalam partikel pemerian yang berfungsi untuk memerikan subjek ayat.
Kata pemeri ialah merupakan kata anafora atau rujukan yang dibentuk daripada
gabungan ia dan lah dan digunakan di hadapan frasa
nama. Ialah digunakan bagi membuat rujukan ke belakang atau dalam erti kata
lain menerangkan subjek yang berada di hadapan.
Kata pemeri adalah pula merupakan kata yang baru wujud yang diambil dari bahasa
Indonesia dan digunakan di hadapan frasa
adjektif dan frasa sendi nama. Walaupun
adalah berasal daripada morfem ada iaitu kata kerja dan lah iaitu parktikel penegas, kata
pemeri atau partikel penegas adalah ini
dalam ayat tidak berfungsi sebagai kata kerja kerana tidak mempunyai fungsi
sebagai kata sempurna, tidak boleh didahului oleh kata kerja bantu atau kata
nafi dan tidak boleh diikuti dengan adverba.
Walaupun kata pemeri ini dilihat
sebagai mudah, namun ada sesetengah pihak masih tidak peka dan keliru sama ada
mahu menggunakan ialah atau adalah. Terdapat juga pihak yang hentam
keromo dalam penggunaan kata pemeri ini. Oleh itu, kita akan melihat beberapa contoh
ayat yang menggunakan kata pemeri yang salah dan cara penggunaan yang
betul.
Salah
|
Betul
|
Hepatitis B adalah infeksi hati yang disebabkan oleh virus Hepatitis B.
|
Hepatitis B ialah infeksi hati yang disebabkan oleh virus Hepatitis B.
|
Tujuan derma itu dikutip ialah untuk membantu Ali melanjutkan
pelajaran.
|
Tujuan derma itu dikutip adalah untuk membantu Ali melanjutkan
pelajaran.
|
Makanan
seimbang ialah baik untuk
kesihatan
|
Makanan
seimbang adalah baik untuk
kesihatan
|
Sampai di sini sahaja penerangan secara ringkas megenai kata pemeri. Untuk penerangan yang lebih lanjut mengenai kata pemeri ini bolehlah merujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, Nahu Melayu Mutakhir dan buku-buku rujukan bahasa Melayu yang lain. Jika ada masalah untuk mencari buku-buku tersebut bolehlah merujuk laman sesawang terutamanya laman sesawang http://prpm.dbp.gov.my/ untuk memudahkan pencarian mengenai kata pemeri. Oleh itu saya akhiri entri saya yang pertama ini dengan satu ayat dan saya minta anda fikir sejenak sama ada betul atau salah.
"Adalah dimaklumkan bahawa tarikh untuk melihat anak bulan Syawal jatuh pada 13 Julai 2015."
Rujukan
Alice. 2013. Perbezaan
Kata Pemeri Ialah dan Adalah. Dicapai pada 9 April 2015 daripada laman
sesawang http://aliceanakmengga.blogspot.com/2013/04/perbezaan-kata-pemeri-ialah-dan-adalah.html.
Asmah Hj. Omar. 2009. Nahu
Melayu Mutakhir Edisi Kelima. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Iena. 2012. Kopula.
Dicapai pada 10 April 2015 daripada laman sesawang http://shafa-cha.blogspot.com/2012/01/kopula.html.
Nik Safiah Karim et. al. 2013. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Norazizah Mazri. 2009. Kata
Pemeri dan Kata Nafi. Dicapai pada 10 April 2015 daripada laman sesawang http://norazizahmazri.blogspot.com/p/kata-pemeri-dan-kata-nafi.html.
No comments:
Post a Comment