Sunday, 12 April 2015

Dari atau Daripada?

Khabaran semua…

Dari atau daripada? Persoalan yang kadang kala bermain di fikiran penutur bahasa Melayu yang peka. Ada juga sesetengah pihak tidak ambil peduli perkara ini. Mereka inilah yang boleh menyebabkan Bahasa Melayu kita rosak.
                Sebelum kita pergi lebih lanjut mengenai dari dan daripada, eloklah kita memahami mengenai kata sendi nama atau preposisi ini. Kata sendi nama dari menurut Tatabahsa Dewan Edisi Keempat (2013, 268) digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan arah, tempat dan masa. Berdasarkan Nahu Melayu Mutakhir pula (2009, 209) preposisi  atau kata depan permulaan arah dari ialah kata yang menandakan titik permulaan sesuatu pergerakkan. Oleh itu secara mudahnya kata sendi nama dari digunakan untuk menyatakan arah, tempat dan masa (A.T.M).
                Kata sendi nama daripada berdasarkan Tatabahasa Dewan (2013, 269) digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, unsur mujarad (konkrit), sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan perbezaan atau perbandingan.  Berdasarkan penerangan mengenai kata sendi nama dari dan daripada ini, mari kita llihat contoh penggunaan yang salah dan betul.

Salah
Betul
Alasan
Lori itu mebelok daripada kiri ke kanan.

Lori itu mebelok dari kiri ke kanan
menyatakan arah
Kelas itu  akan diasakan daripada pukul 3 petang sehingga 10 malam.

Kelas itu  akan diasakan dari pukul 3 petang sehingga 10 malam.
menyatakan masa
Pasu itu diperbuat dari tanah liat.

Pasu itu diperbuat daripada tanah liat.
menyatakan sumber atau asal kejadian
Kami tiba lebih awal dari mereka.
Kami tiba lebih awal daripada mereka.
menunjukkan perbezaan dan perbandingan


Kesalahan penggunaan kata sendi nama ini merupakan salah satu kesalahan yang sering dilakukan oleh pengguna bahasa Melayu. Oleh itu diharapkan pengguna bahasa melayu lebih peka sewaktu menggunakan kata sendi nama/preposisi dari atau daripada berdasarkan penerangan ringkas yang diberikan. Jumpa lagi untuk entri yang seterusnya dan saya tinggalkan satu ayat untuk anda semua fikir sama ada betul atau salah. Sekian….

Kami semua dari Malaysia

 Kami semua daripada Malaysia

Rujukan

Asmah Hj. Omar. 2009. Nahu Melayu Mutakhir Edisi Kelima. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Latifah Labatan, 2012. Perbezaan Kata Sendi Nama ‘Dari’ dan ‘Daripada’. Dicapai pada 12 April 2015 daripada laman sesawang http://latifahlabatan.blogspot.com/2012/11/perbezaan-kata-sendi-nama-dari-dan.html.

Mohd Saad. 2010. Penggunaan Kata Sendi Nama Dari dan Daripada. Dicapai pada 12 April 2015 daripada laman sesawang http://hjmsaad.blogspot.com/2010/03/penggunaan-kata-sendi-nama-dari-dan.html

Nik Safiah Karim et. al. 2013. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



Saturday, 11 April 2015

Kekeliruan Penggunaan Kata Pemeri

Assalamualaikum. Damai pada dunia...

Kita mulakan entri yang pertama dengan tajuk Kekeliruan dalam Penggunaan Kata Pemeri. Kata pemeri menurut Tatabahasa Dewan Edisi Keempat (2013, 263) ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Terdapat 2 bentuk kata pemeri iaitu ialah dan adalah.

            Nik Safiah Karim dalam buku Nahu Melayu Mutakhir Edisi Kelima (2009, 237) menyatakan ialah dan adalah tergolong dalam partikel pemerian yang berfungsi untuk memerikan subjek ayat.

            Kata pemeri ialah merupakan kata anafora atau rujukan yang dibentuk daripada gabungan ia dan lah dan digunakan di hadapan frasa nama. Ialah digunakan bagi membuat rujukan ke belakang atau dalam erti kata lain menerangkan subjek yang berada di hadapan.

            Kata pemeri adalah pula merupakan kata yang baru wujud yang diambil dari bahasa Indonesia dan digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Walaupun adalah berasal daripada morfem ada iaitu kata kerja dan lah iaitu parktikel penegas, kata pemeri atau partikel penegas adalah ini dalam ayat tidak berfungsi sebagai kata kerja kerana tidak mempunyai fungsi sebagai kata sempurna, tidak boleh didahului oleh kata kerja bantu atau kata nafi dan tidak boleh diikuti dengan adverba.

            Walaupun kata pemeri ini dilihat sebagai mudah, namun ada sesetengah pihak masih tidak peka dan keliru sama ada mahu menggunakan ialah atau adalah. Terdapat juga pihak yang hentam keromo dalam penggunaan kata pemeri ini. Oleh itu, kita akan melihat beberapa contoh ayat yang menggunakan kata pemeri yang salah dan cara penggunaan yang betul. 

Salah
Betul
Hepatitis B adalah infeksi hati yang disebabkan oleh virus Hepatitis B.

Hepatitis B ialah infeksi hati yang disebabkan oleh virus Hepatitis B.
Tujuan derma itu dikutip ialah untuk membantu Ali melanjutkan pelajaran.

Tujuan derma itu dikutip adalah untuk membantu Ali melanjutkan pelajaran.
Makanan seimbang ialah baik untuk kesihatan
Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan


Sampai di sini sahaja penerangan secara ringkas megenai kata pemeri. Untuk penerangan yang lebih lanjut mengenai kata pemeri ini bolehlah merujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, Nahu Melayu Mutakhir dan buku-buku rujukan bahasa Melayu yang lain. Jika ada masalah untuk mencari buku-buku tersebut bolehlah merujuk laman sesawang terutamanya laman sesawang http://prpm.dbp.gov.my/ untuk memudahkan pencarian mengenai kata pemeri. Oleh itu saya akhiri entri saya yang pertama ini dengan satu ayat dan saya minta anda fikir sejenak sama ada betul atau salah.

 "Adalah dimaklumkan bahawa tarikh untuk melihat anak bulan Syawal jatuh pada 13 Julai 2015."



Rujukan

Alice. 2013. Perbezaan Kata Pemeri Ialah dan Adalah. Dicapai pada 9 April 2015 daripada laman sesawang http://aliceanakmengga.blogspot.com/2013/04/perbezaan-kata-pemeri-ialah-dan-adalah.html.

Asmah Hj. Omar. 2009. Nahu Melayu Mutakhir Edisi Kelima. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Iena. 2012. Kopula. Dicapai pada 10 April 2015 daripada laman sesawang http://shafa-cha.blogspot.com/2012/01/kopula.html.

Nik Safiah Karim et. al. 2013. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Norazizah Mazri. 2009. Kata Pemeri dan Kata Nafi. Dicapai pada 10 April 2015 daripada laman sesawang http://norazizahmazri.blogspot.com/p/kata-pemeri-dan-kata-nafi.html.

Friday, 10 April 2015

Aku Tanya Apa Khabar


sumber: Google Image

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca sekalian. : )

Blog ini dihasilkan bagi membincangkan mengenai perkara-perkara yang berkaitan bahasa Melayu seperti fonetik fonologi, semantik pragmatik, wacana, psikolinguistik BM, dan lain-lain lagi.

Sampai di sini sahaja pengenalan untuk blog ini. Diharapkan pembaca dapat memberi komen-komen yang membina untuk menjadikan blog ini lebih menarik dan berilmiah. Sebarang pertanyaan boleh terus emel kepada saya, RedWW_6891@yahoo.com

Sekian, terima kasih.

Let's Showtime...