1.0 Pendahuluan
Metafora
mengikut semantik kognitif dilihat sebagi prinsip ontologi yangmelibatan kegiatan
penggunaan bahasa setiap hari. Metafora kognitif memberikan keupayaan manusia
semasa menggunakan bahasa khususnya dalam memberikan makna kepada bahasa.
Terdapat tiga jenis metafora kognitif yang utama iaitu Metafora Orientasi,
Metafora Ontologi dan Metafora Struktural.
Dari perspektif
semantik kognitif, pembentukan struktur konsepsi asas berdasarkan pengalaman
manusia yang berlaku di dalam sistem kognisi manusia ini dikenali sebagai skema
imej. Skema imej pula
merujuk kepada struktur kognitif yang paling asas yang mendasari penggunaan
metafora (Johnson, 1987).
Johnson turut menyatakan bahawa pengalaman
fizikal seperti pergerakan anggota badan, tanggapan manusia terhadap dunia, dan
sebagainya akan membentuk struktur konsepsi asas yang akan digunakan oleh
manusia untuk menyusun pemikiran dalam domain yang lebih abstrak. Terdapat pelbagai jenis skema imej,
antaranya ialah skema imej tatatingkat, skema imej saiz, skema imej penghubung,
skema imej hadapan-belakang, skema imej jarak, skema imej bahagian, skema imej
bekas, skema imej kuasa dan skema imej laluan. Kajian
ini akan menganalisis metafora dan skema imej secara ringkas yang terdapat di
dalam novel Melayu. Novel yang dipilih ialah Rindu Awak 200% (2013) oleh Liyana
Zahim. Sebanyak 10 sahaja data dari novel ini yang akan diambil dan dianalisis.
2.0 ANALISIS METAFORA DAN SKEMA IMEJ
Berikut
merupakan 10 data yang diambil dari novel Rindu Awak 200% yang memperlihatkan
penggunaan metafora dan skema imej.
2.1.1 Metafora Orientasi
Menurut Lakoff
& Johnson (1980:14), metafora orientasi ialah peluasan makna atau konsep
orientasi seperti DALAM-LUAR, ATAS- BAWAH, HADAPAN-BELAKANG dan PENUH-KURANG
kepada domain bukan ruang. Metafora orientasi ini juga dikenali sebagai
metafora ruang. Ruang orentasi ini timbul daripada persekitaran bahawa kita
mempunyai pengetahuan asas tentang persekitaran fizikal.
DATA
1
Armel memberanikan diri
menatap wajah Faezrul. Walau dirasakan saat ini kekuatannya berada di paras paling bawah.
(Rindu Awak 200%, 2013: 304)
Berdasarkan Data
1, frasa kekuatannya berada di paras
paling bawah dianggap sebagai metafora orientasi kerana menepati ciri
metafora tersebut iaitu memberikan konsep ruang kepada domain bukan ruang.
Kekuatan menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013:836) ialah tenaga atau daya.
Oleh itu perkataan “kekuatan” ialah sesuatu yang abstrak dan tidak mempunyai
ruang kerana “kekuatan” hanya boleh
digambarkan sahaja. Apabila perkataan kekuatan digunakan dengan frasa paras paling bawah menunjukkan bahawa
kekuatan fizikal dan mental watak dalam novel ini iaitu Armel sangat rendah dan
ini memberikan konsep ruang pada perkataan “kekuatan” sama ada konsep itu
tinggi atau rendah
Jika dilihat pada sudut skema imej
pula, frasa tersebut tergolong dalam skema imej tatatingkat. Skema ini (Lakoff
& Johnson, 1987:276) didasari oleh
metafora konsep di mana yang di atas ialah berkuasa dan di bawah itu kurang
berkuasa. Apablia melihat frasa paras
paling bawah, jelas menunjukkan bahawa watak tersebut mempunyai kuasa atau
“kekuatan” yang kurang daripada orang lain.
DATA 2:
Faezrul
menghadiahkan satu kucupan hangat di dahi Armel. Meredakan gelodak rasa yang merimba di hati Armel. (Rindu Awak 200%, 2013:480)
Berdasarkan
Data 1, frasa Meredakan gelodak rasa ialah
metafora orientasi kerana menepati ciri metafora tersebut iaitu memberikan konsep
orientasi kepada domain bukan ruang. Perkataan “meredakan” mengikut Kamus Dewan
Edisi Keempat (2013:1301) bermaksud menjadikan atau menyebabkan reda,
menenangkan, mengamankan atau mengurangkan. Maksud yang sesuai untuk
dikonotasikan bagi perkataan “meredakan” dalam frasa tersebut ialah
mengurangkan. “Rasa” dalam frasa tersebut bermaksud keadaan hati tentang
sesuatu contohnya emosi (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2013:1290). Oleh itu
perkataan emosi dianggap sebagai domain bukan ruang kerana “rasa” adalah sesuatu
yang abstrak kepada amnusia dan tidak mempunyai ruang. Apabila perkataan
meredakan digunakan menjadikan perkataan “rasa” itu seperti mempunyai ruang
untuk berkurangan.
Skema imej yang boleh diihat dalam
frasa tersebut ialah skema imej saiz.
Saiz pada zahirnya melambangkan kuasa. Saiz yang besar mempunyai kuasa yang
tinggi dan sebaliknya. Jika dilihat perkataan “meredakan” yang sama maksud
dengan mengurangkan dalam frasa yang ditebalkan, ini bermakna “rasa” itu dapat
dikurangkan dari gelodak rasa yang besar kepada gelodak rasa yang sedikit atau
kecil.
2.1.2 Metafora Ontologi
Menurut Lakoff & Johnson (1980:25), metafora ontologi
ialah pengkonseptualisasian benda yang abstrak sebagai contoh emosi, idea atau
fenomena persekitaran dan menjadikannya seperti benda yang biasanya entiti,
benda konkrit atau tempat. Pemetaan entiti abstrak epada entiti konkit ini
menyebabkan satu pihak dikala oleh satu pihak yang lain. Pengalaman kita dengan
entiti konkrit, memberikan suatu input bagi metafora ini. Ia meliputi cara
untuk memerhatikan sesuatu aspek atau perkara, aktiviti, emosi dan ideayang
berkaitan dengan entiti dan bahan-bahan (Asas Linguistik, 2014: 116).
DATA 3:
Satu keluhan tergelincir
keluar dari mulut. (Rindu Awak 200%, 2013:265)
Ayat Satu keluhan tergelincir keluar dari mulut dalam
Data 3 menunjukkan penggunaan metafora
ontologi. Metafora ontologi berfungsi apabila sesuatu entiti yang
abstrak dijadikan seperti benda yang konkrit. Entiti yang abstrak dalam ayat
tersebut ialah keluhan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013: 726) keluhan
ialah kata-kata keluhan, keluh kesah atau rintihan. Keluhan ini juga boleh
dikatakan sebagai suatu perasaan dalam diri manusia. Keluhan ini hanya boleh
dirasai di dalam diri dan ini menyebabkan keluhan dianggap sebagai entiti yang
abstrak. Frasa keluhan tergelincir
keluar dari mulut dianggap metafora ontologi kerana “keluhan” yang dianggap entiti abstrak itu dijadikan seperti
entiti konkrit dengan menggunakan frasa tergelincir
keluar. Tergelincir mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013:449) ialah
tergeluncur, tergeser kerana licin atau terlepas dari landasan. Umumnya
perkataan tergelincir disinonimkan dengan entiti yang konkrit seperti dalam
ayat kereta api yang tergelincir dari
landasannya (Menjamin Khidmat Kereta Api Selesa, 2003) di mana kereta api
yang merupakan entiti konkrit digunakan dengan perkataan tergelincir yang
menunjukkan kereta api itu terkeluar dari landasan. Jadi frasa keluahan tergelincir keluar dari mulut ialah metafora ontologi
kerana keluhan iaitu entiti abstrak dijadikan seperti entiti konkrit dengan
menggunakan frasa tergelincir keluar
dari mulut.
Skema
imej yang dapat dianalisis berdasarkan ayat tersebut ialah skema imej bekas. Menurut
Johnson (1987:21) , skema imej bekas terbentuk daripada pengalaman manusia
terhadap badan manusia itu sendiri sebagai bekas, pengalaman manusia berada di
dalam lokasi tertutup seperti bilik dan sebagainya, dan meletakkan objek-objek
itu di dalam bekas. Jika dianalisis frasa keluhan
tergelincir keluar dari mulut, “mulut” dianggap sebagai bekas dan “keluhan”
dianggap sebagai suatu entiti yang boleh dikeluarkan atau dimasukkan ke dalam
bekas (mulut).
DATA 4:
Suhu sejuk
menggigit-gigit kulitnya. (Rindu Awak 200%, 2013:269)
Ayat Suhu sejuk menggigit-gigit kulitnya dalam
Data 4 menunjukkan penggunaan metafora
ontologi. Metafora ontologi berfungsi apabila sesuatu entiti yang
abstrak dijadikan seperti benda yang konkrit. Entiti yang abstrak dalam ayat
tersebut ialah suhu sejuk. Sejuk (Kamus Dewan Edisi Keempat, 20013: 1412)
bermaksud tidak panas atau hangat, rendah suhunya atau dingin. Frasa suhu sejuk bermaksud satu keadaan atau
sifat di mana suhu yang rendah dan tidak panas. Suhu sejuk dianggap entiti
abstrak kerana sifat ini adalah salah satu contoh fenomena persekitaran yang
tidak bersifat konkrit. Apabila penulis menggunakan frasa Suhu sejuk menggigit-gigit, entiti abstrak suhu sejuk telah menjadi entiti konkrit kerana perbuatan menggigit-gigit yang bermaksud mengapit
dengan gigi atau menimbulkan rasa seakan-akan dicengkam-cengkam atau
dicucuk-cucuk (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2013: 473) hanya boleh dilakukan oleh
manusia atau haiwan yang merupakan entiti konkrit. Oleh itu ayat Suhu sejuk menggigit-gigit kulitnya dianggap
metafora ontologi kerana entiti abstrak (suhu sejuk) dijadikan seperti benda
iaitu melakukan perbuatan menggigit-gigit
kulitnya.
Skema
Imej yang dapat dilihat ialah skema imej kuasa. Skema imej kuasa dapat
dibahagikan kepada 3 jenis iaitu skema imej kuasa paksaan, skema imej kuasa
halangan dan skema imej kuasa penyingkiran halangan. Skema imej yang sesuai
untuk ayat tersebut ialah skema imej kuasa paksaan. Skema imej ini menerangkan
mengenai vektor kuasa yang boleh bertindak ke ayat sesuatu entiti. (Johnson,
1987:45). Jika dilihat dalam ayat Suhu sejuk menggigit-gigit kulitnya,
suhu sejuk menjadi satu vektor kuasa yang boleh bertindak kepada susuatu entiti
iaitu kulit dengan cara mengigit-gigit. Suhu sejuk merupakan suatu fenomena
sains yang boleh memberi kesan kepada kehidupan. Oleh itu apabila suhu sejuk
menggigit kulit, ini memberitahu bahawa suhu sejuk ini berkuasa untuk melakukan
sesuatu perbuatan (menggigit) secara paksaan kepada kulit manusia tanpa
sebarang halangan.
DATA 5:
Serentak Armel berpaling. Habis berkecai segala lamunannya. Figura
Raizil betul-betul sudah berada di depan matanya.
(Rindu Awak 200%, 2013: 251)
Ayat Habis berkecai segala lamunannya dalam
Data 5 menunjukkan penggunaan metafora
ontologi. Metafora ontologi berfungsi apabila sesuatu entiti yang
abstrak dijadikan seperti benda yang konkrit. Entiti yang abstrak dalam ayat
tersebut ialah lamunan. Lamunan
mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013:880) bermaksud fikiran yang
bukan-bukan atau angan-angan. Lamunan dianggap entiti abstrak kerana lamunan
ini hanya terjadi dalam fikiran manusia sahaja. Apabila diberikan konsep berkecai pada lamunan, ini menjadikan
ayat tersebut metafora ontologi. Berkecai bermaksud pecah kecil-kecil, hancur,
bersepai atau remuk (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2013:697) dan perkataan
berkecai ini selalu disinonimkan dengan entiti konkrit iaitu kaca. Oleh itu, ayat Habis berkecai segala lamunannya ialah metafora ontologi kerana
entiti abstrak (lamunan) dijadikan seperti benda atau entiti konkrit kerana
boleh berkecai.
Skema
imej yang sesuai untuk Data 5 ini ialah skema imej kuasa halangan. Skema imej
ini melibatkan kuasa bertemu dengan halangan. Keadaan ini lazimnya dihadapi
manusia dalam interaksi dengan objek dan hidupan lain dalam persekitanan
seharian. Kuasa tersebut boleh bertindak dengan pelbagai cara seperti mengubah
arah atau laluan, meneruskan perjalanan dengan mengeluarkan halangan itu atau
melalui halangan tersebut (Johnson, 1987:45).
Berdasarkan Data 5, halangan tersebut ialah Figura Raizil yang telah menghalang kuasa lamuanan sehingga menyebabkan lamunan tersebut berkecai.
DATA 6:
Ada
seribu satu rasa yang bergumpal di dalam
hatinya saat itu. (Rindu Awak 200%, 2013:271)
Frasa seribu satu rasa yang bergumpal di dalam
hatinya dalam Data 6 menunjukkan penggunaan metafora ontologi. Metafora ontologi berfungsi apabila
sesuatu entiti yang abstrak dijadikan seperti benda yang konkrit. Entiti yang
abstrak dalam ayat tersebut ialah rasa.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2013: 1290) menyatakan rasa ialah perihal sesuatu
yang dikecapi oleh lidah, keadaan yang dialami oleh bahagian tubuh dan keadaan
hati terhadap sesuatu. Maksud rasa dalam
frasa tersebut ialah suatu perasaan. Rasa dikatakan sebagai entiti abstrak
kerana rasa tidak boleh dipegang dan hanya berlaku dalam diri manusia.
Perbuatan bergumpal yang selalu dilakukan kepada dengan entiti konkrit seperti
tanah atau darah bermaksud berkepal, berketul atau berkepul (Kamus Dewan Edisi
Keempat, 2013: 488). Oleh itu apabila konsep bergumpal yang sinonim dengan
entiti konkrit diberikan kepada entiti abstrak rasa, maka frasa tersebut menepati ciri metafora ontologi.
Skema
imej dalam frasa seribu satu rasa yang
bergumpal di dalam hatinya ialah skema imej bekas. Menurut Johnson
(1987:21), skema imej bekas terbentuk daripada pengalaman manusia terhadap
badan manusia itu sendiri sebagai bekas, pengalaman manusia berada di dalam
lokasi tertutup seperti bilik dan sebagainya, dan meletakkan objek-objek itu di
dalam bekas. Jika dianalisis frasa seribu
satu rasa yang bergumpal di dalam hatinya, “hati” dianggap sebagai bekas
dan “rasa” dianggap sebagai suatu entiti yang terkumpul (bergumpal) dengan
banyak (seribu satu) ke dalam bekas (hati). Penerangan ini menepati ciri skema
imej bekas.
DATA 7:
Sebahagian hatinya
tergores jua walau dia cuba untuk menelan segala kata-kata kesat
Armel.
(Rindu
Awak 200%, 2013:283)
Frasa dia cuba untuk menelan segala kata-kata kesat Armel dalam Data 7
menunjukkan penggunaan metafora ontologi. Metafora ontologi berfungsi apabila
sesuatu entiti yang abstrak dijadikan seperti benda yang konkrit. Entiti yang
abstrak dalam ayat tersebut ialah kata-kata
kesat. Kamus Dewan Edisi Keempat (2013: 684) menyatakan bahawa kata ialah sesuatu yang diujaran atau
dituturkan. Kata dilihat sebagai suatu entiti abstrak kerana kata tidak boleh
dilihat atau dipegang dan hanya mengeluarkan bunyi-bunyi yang menjadikan
perkataan. Perbuatan menelan yang
bermaksud memasukkan sesuatu ke dalam mulut melalui kerongkong (Kamus Dewan
Edisi Keempat, 2013: 1632). Oleh itu apabila konsep menelan yang sinonim dengan
entiti konkrit seperti makanan diberikan kepada entiti abstrak kata, maka frasa tersebut menepati ciri
metafora ontologi.
Skema
imej yang dapat dianalisis dalam frasa tersebut ialah skema imej bekas. Menurut
Johnson (1987:21), skema imej bekas terbentuk daripada pengalaman manusia
terhadap badan manusia itu sendiri sebagai bekas, pengalaman manusia berada di
dalam lokasi tertutup seperti bilik dan sebagainya, dan meletakkan objek-objek
itu di dalam bekas. Konsep bekas dalam frasa tersebut tidak dizahirkan tetapi
disebabkan penggunaaan perkataan menelan,
skema imej bekas boleh digunakan kerana perbuatan menelan ialah memasukkan
sesuatu. Oleh itu, apabila menelan kata-kata kesat itu bermaksud memasukkan
kata-kata kesat itu ke dalam bekas.
DATA 8:
Ketenangan Faezrul
menjentik emosinya. (Rindu Awak 200%, 2013:87)
Ayat Ketenangan Faezrul menjentik emosinya
dalam Data 8 menunjukkan penggunaan metafora ontologi. Metafora ontologi
berfungsi apabila sesuatu entiti yang abstrak dijadikan seperti benda yang
konkrit. Entiti yang abstrak dalam ayat tersebut ialah emosi. Emosi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013: 388) ialah
perasaan jiwa yang kuat seperti sedih, gembira takut dan lain-lain. Emosi
dianggap entiti abstrak kerana emosi merupakan satu perasaan yang dialami
manusia dan tidak bersifat konkrit. Apabila perbuatan menjentik diberikan
kepada emosi, maka ini menepati ciri metafora ontologi kerana menjadikan entiti
abstrak (emosi) sebagai benda dengan cara menjentik Menjentik mengikut Kamus
Dewan Edisi Keempat (2013:626) ialah memukul atau menguis sesuatu dengan
belakang hujung jari yang dibidaskan dengan ibu jari. Oleh itu, menjentik selalu disinonimkan dengan
objek konkrit seperti menjentik batu atau menjentik penutup botol.
Skema imej yang dapat dianalisis
dalam Data 8 ialah skema imej laluan. Skema imej ini melambangkan pengalaman
seharian manusia di dunia dan pergerakkan oleh entiti-entiti lain. Skema imej ini memperlihatkan pergerakan dari
satu titik ke titik lain. Data 8 ini menampakkan pergerakkan kerana perbuatan
menjentik akan menggerakkan sesuatu entiti dari titik mula ke titi akhir.
Apabila perbuatan menjentik emosi dilakukan,
emosi akan berubah dari negatif kepada positif atau sebaliknya. Ini menunjukkan
perubahan sebelum dan selepas. Oleh itu frasa menjentik emosi boleh dianggap
sebagai mematuhi ciri skema imej laluan.
2.1.3 Metafora Struktural
Metafora struktural menurut Lakoff & Johnson
(1980:14) ialah mengambil item-item yang banyak berstruktur dalam pengalaman
hidup sebagai sumber domain untuk memahami sesuatu konsep yang lain. Metafora struktural
merupakan satu konsep yang kompleks berbanding metafora yang lain. Ini kerana
metafora struktural ini memerlukan pemabaca atau pendengar menukarkan satu
domain asas kepada domain sasaran. Metafora ini juga membantu pembaca atau
pendengar mengkonsepsikan sesuatu perkara kepada suatu bentuk yang lebih mudah
untuk difahami.
DATA 9:
Of course. I dah tak tahan dah duduk terperap dalam
rumah ni, dah macam jeruk. (Rindu Awak 200%, 2013:233)
Ayat I
dah tak tahan dah duduk terperap dalam rumah ni, dah macam jeruk menunjukkan penggunaan metafora struktural. Ini
kerana penulis cuba mengaitkan watak tersebut yang duduk terperap di dalam rumah seperti jeruk. Terperap menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013:1189)
bermaksud tertahan, tidak terurus, terkurung atau terpendam manakala jeruk pula
bermaksud buah-buahan, sayur, telur dan lain-lain yang disamkan tau diasinkan
(Kamus Dewan Edisi Keempat 2013:630). Perbuatan terperap di dalam rumah disinonimkan
dengan jeruk kerana proses membuat jeruk memerlukan bahan-bahan yang ingin
dijerukkan itu disimpan lama di dalam bekas sehingga menjadi masam atau masin
sama seperti terperap di dalam rumah sehingga tidak melakukan apa-apa perkara
yang berfaedah. Oleh itu mensinonimkan perbuatan terperap di dalam rumah dengan
jeruk sangat sesuai dan menepati ciri metafora struktural.
Skema
imej yang dapat dianalisis dalam ayat tersebut ialah skema imej bekas. Menurut
Johnson (1987:21), skema imej bekas terbentuk daripada pengalaman manusia terhadap
badan manusia itu sendiri sebagai bekas, pengalaman manusia berada di dalam
lokasi tertutup seperti bilik dan sebagainya, dan meletakkan objek-objek itu di
dalam bekas. Konsep bekas dalam ayat tersebut diberikan kepada rumah di mana perbuatan duduk terperap bermaksud perbuatan itu
dilakukan di dalam bekas (rumah) dan tidak dikeluarkan dari bekas tersebut. Ini
menepati ciri skema imej bekas.
DATA 10:
Betapa
mulianya wanita yang bernama Esyana itu. Barangkali jika dibandingkan dengan
dirinya yang dahulu, seperti jarak langit dan bumi. (Rindu Awak 200%, 2013:484)
Data 10
menunjukkan penggunaan metafora struktural. Data ini menunjukkan perbandingan
sifat mulia antara watak Esyana dan Armel dan disinonimkan dengan jarak langit
dan bumi yang sangat jauh. Mulia menurut KamusDewan Edisi Keempat (2013:1052)
bermaksud tinggi (kedudukan, pangkat, martabat dan lain-lain), luhur, terhormat
atau tertinggi. Maksud perkataan mulia dalam ayat tersebut ialah sifat Esyana
yang baik dan hebat dari segi fizikal dan mental. Armel merasakan dirinya
tidaklah semulia atau sebaik Esyana, jadi Armel membandingkan dirinya dengan
Esyana seperti langit dan bumi. Ini kerana jaraknya terlalu jauh hanya tuhan
sahaja yang mengetahuinya. Oleh itu penggunaan perbandingan ini menunjukkan
perbezaan sifat yang sangat ketara antara Armel dan Ezyana.
Skema
imej yang dapat dianalisis dalam Data 10
ini ialah skema imej tatatingkat. Skema ini (Lakoff & Johnson,
1987:276) didasari oleh metafora konsep
di mana yang di atas ialah berkuasa dan di bawah itu kurang berkuasa.
Penggunaan frasa seperti jarak langit
dan bumi dan perbandingannya dengan sifat kedua watak tersebut menunjukkan
penggunaan skema imej tatatingkat kerana apabila berbicara mengenai sifat
mulia, masyarakat meletakkan orang yang memiliki sifat ini di tahap yang paling
tinggi dan dipandang mulia dan orang yang tidak mempunyai sifat mulia dipandang
rendah tahapnya dan kemuliaan seseorang itu disinonimkan dengan membandingkan
jarak jauhnya langit dan bumi ini.
3.0 KESIMPULAN
Berdasarkan
analisis 10 data yang diambil dari novel Rindu Awak 200% ini, didapati metafora
ontologi dan skema imej bekas mudah dijumpai berbanding metafora dan skema imej
yang lain. Penggunaan metafora ontologi ini selalu digunakan kerana metafora
ini mudah dan menjadikan ayat tersebut sedap didengar dan pembaca dapat
memahami sesuatu perkara. Skema imej bekas pula banyak dilihat kerana
terdapatnya perbuatan memasukkan atau mengeluarkan sesuatu dari “bekas” sebagai
contoh menelan kata-kata dan tergelincir keluar dari mulut.Walaupun terdapat
pelbagai jenis metafora dan skema imej di dalam novel ini, namun fungsi
utamannya ialah memudahkan pembaca memehami sesuatu perkara itu berdasarkan
pengalaman dan menyedapkan ayat atau menarik minat pembaca terutamanya remaja
dan orang dewasa untuk membaca novel-novel bergenre seperti ini.
Rujukan:
Asmah Haji
Omar. 1996. Metaphors of Anatomy as A
Reflection of Malay Cultural Belief. Kuala
Lumpur: Persatuan Bahasa Moden Malaysia
Johnson, M.
1987. The Body in the Mind: The Bodily Basis
of Meaning, Imagination and Reason.
Chicago: University of Chicago Press.
Kamus Dewan Edisi Keempat. 2013. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Lakoff, G
& Johnson, M. 1980. Metaphor We Live by. London: Oxford
Unversity Press
Liyana Zahim. 2013. Rindu
Awak 200%. Shah Alam: Grup Buku Karangkraf Sdn.Bhd.
Nik
Safiah Karim et. al. 2011. Tatabahasa
Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Rahman Shaari.
1987. Persediaan Menulis Sajak. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Suraiya
Chapakiya. 2014. Asas Linguistik.
Selangor: PTS Akademia
Laman Sesawang
Abu Yazid Abidin. 1977. Mata di Jendela. Dipetik dari laman
sesawang http://sbmb.dbp.gov.my/korpusdbp/Search2.aspx#
pada 28 Mei 2015.
Hasmah Hassan. 2012. Metafora. Dipetik dari laman sesawang http://hasmah042790.blogspot.com/2012/10/metafora.html
pada 28 Mei 2015.
https://prpm.dbp.gov.my